"Masjid bukan sekadar lambang dan syiar dalam kehidupan masyarakat Islam malahan lebih penting dari itu di mana masjid adalah nadi dan pusat kegiatan aktiviti umat Islam. Kehebatan sesebuah masjid bukanlah bergantung kepada senibinanya semata-mata tetapi juga kepada tahap pengimarahannya Sirah perjuangan Rasulullah SAW telah membuktikan betapa pentingnya fungsi masjid kepada perkembangan syiar Islam sehingga menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara Islam yang bertamadun dan berdaulat suatu ketika dahulu. Pada ketika itu masjid bukan sekadar tempat beribadah, malah sebagai pusat kegiatan keilmuan yang menjadi rujukan utama berkaitan hal ehwal agama dan menghimpunkan para alim ulama bagi menyampaikan ajaran Islam. Institusi masjid juga berfungsi sebagai agen sosial dalam sesebuah masyarakat. Melihat kepada kejayaan fungsi masjid pada zaman dahulu, peranan dan fungsi masjid kini perlu diperkasakan secara optimum bagi membina kekuatan ummah dan memenuhi keperluan masyarakat Islam semasa. Justeru itu semua pihak terutamanya pegawai dan jawatankuasa masjid yang dilantik perlu memberi fokus kepada pemerkasaan peranan masjid sebagai penggerak kepada pembangunan masyarakat di era kontemporari ini. Seluruh umat Islam seharusnya turut bersama memantapkan lagi peranan masjid dalam usaha membangunkan ummah yang cemerlang memandangkan hubungan masyarakat Islam dan masjid tidak boleh dipisahkan kerana saling berkait dan saling memerlukan " - Tuan Haji Mohmad Nasrudin bin Ismail